SQUATTER IN MALAYSIA
Kewujudan petempatan setinggan bukan sahaja menjadi kesalahan dari segi undang-undang negara, malahan petempatan tersebut juga tidak disenangi oleh sebahagian masyarakat di Malaysia. Setinggan didefinisikan sebagai aktiviti penerokaan, kependudukan dan pembinaan bangunan di atas tanah hak kepunyaan pihak lain. Ini termasuklah di kawasan tanah kerajaan, tanah agensi kerajaan, tanah komuniti dan tanah persendirian secara haram dan tidak sah dari undang-undang. Petempatan setinggan di negara sedang membangun secara umumnya merujuk kepada kediaman yang tidak sah sama ada di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan dan komuniti setinggan merupakan mereka yang mendiami kawasan tersebut.
Setinggan adalah satu fenomena yang sering dikaitkan dengan pertumbuhan sektor perindustrian dan perbandaran di negara-negara membangun. Faktor peningkatan taraf hidup yang tinggi serta peningkatan kadar sewa rumah menyebabkan petempatan setinggan menjadi pilihan utama kepada pemilikan atau sewaan perumahan. Kepesatan pertumbuhan bandar selalunya akan berhadapan dengan masalah penghijrahan masuk tenaga kerja dari kawasan luar bandar. Dengan adanya peluang peluang pekerjaan yang wujud di bandar telah menjadi faktor penarik yang mencetuskan fenomena ini kerana bukan sahaja berlaku kepada penduduk tempatan tetapi juga membuka ruang kepada pendatang-pendatang asing. Salah satu penyebab utama pertambahan petempatan setinggan disebabkan oleh kemasukan pendatang asing yang semakin meningkat.
Kewujudan dan proses pembentukan kawasan setinggan di bandar besar di Malaysia adalah akibat daripada penghijrahan atau perpindahan masyarakat luar bandar ke bandar dan dalam bandar itu sendiri. Namun pada dasarnya kewujudan kawasan setinggan adalah disebabkan oleh dua faktor utama iaitu faktor tolakan dan faktor tarikan yang memainkan peranan penting dalam proses penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar. Faktor tolakan wujud apabila penduduk luar bandar menyedari bahawa tiada peluang pekerjaan yang baik di kawasan luar bandar dan sukar mendapat punca pencarian. Selain itu, penduduk luar bandar juga menyedari tentang segala kekurangan pelbagai kemudahan di tempat mereka dan keadaan ini secara tidak langsung menolak mereka keluar dari desa. Manakala faktor tarikan pula ialah di bandar wujud segala kemudahan dan pelbagai peluang pekerjaan yang dapat menjamin pendapatan lumayan dan situasi ini telah menarik penduduk desa berhijrah ke bandar. Selain itu, penghijrahan penduduk bandar ke bandar lain dan seterusnya ke bandaraya besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Ipoh. Kini terdapat setinggan generasi baru yang dilahirkan dan berasal daripada bandar-bandar itu sendiri. Bagi meneruskan kehidupan, generasi ini juga masih tinggal di kawasan setinggan dengan mengekalkan beberapa norma hidup seperti mementingkan kehidupan bermasyarakat berbanding individualistik dan anti-sosial.
Sumber: Sikap Komuniti Setinggan Tebingan Sungai: Pencemaran Alam Sekitar dan Pengurusannya oleh Hamidi Ismail, Tuan Pah Rokiah Syed Hussain & Raman Mariyappan
Gewddd sharinggg!
ReplyDelete